KUALA LUMPUR – Dua anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika menjalankan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Menurut kenyataan firma guaman Kamal Hisham & Associates yang mewakili kedua-dua anggota berkenaan, kejadian itu didakwa menyebabkan anak guam mereka mengalami kecederaan selain menjejaskan maruah mereka sebagai penjawat awam.

Firma berkenaan berkata, kedua-dua anggota terbabit berada di KLIA bagi menjalankan tugasan rasmi ketika insiden tersebut berlaku.

Pihak peguam turut menegaskan bahawa dakwaan terhadap anak guam mereka berkaitan aktiviti ‘ulat’ atau ‘counter setting’ adalah tidak benar, sambil mendakwa urusan kaunter di KLIA berada di bawah bidang kuasa agensi berkaitan dan bukan tugasan anggota Cawangan Khas.

Dalam kenyataan itu, pihak peguam turut mendakwa terdapat cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kejadian sebenar menerusi kenyataan di media sosial dan saluran rasmi kerajaan.

Sehubungan itu, mereka menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, bebas dan segera serta mengambil tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya terdapat kesalahan.

Pihak peguam turut meminta supaya sebarang kenyataan awam yang berpotensi menjejaskan siasatan dihentikan dan hak serta maruah kedua-dua anggota berkenaan dilindungi.

Mereka mendakwa tindakan yang dipersoalkan itu berpotensi disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, siasatan berhubung insiden berkenaan masih dijalankan PDRM. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan 25 individu telah dirakam percakapan, selain polis memperoleh rakaman CCTV dan laporan perubatan berkaitan kes tersebut. 

AKPS sebelum ini mengesahkan video yang tular berhubung insiden tersebut merupakan rakaman sebenar daripada sistem CCTV KLIA Terminal 1 dan menjelaskan kejadian berlaku ketika Mohd Shuhaily menjalankan tinjauan kesiapsiagaan operasi AKPS sempena ketibaan delegasi serta kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading