KOTA KINABALU – Kementerian Komunikasi sedang merangka kaedah terbaik bagi memperluas program e-Tuisyen Rakyat bagi membolehkan pelajar yang mempunyai capaian internet baik dapat mengikuti kelas secara dalam talian dari rumah.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ketika ini pelajar perlu hadir ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk mengikuti program berkenaan, namun kementerian sedang mengkaji pendekatan yang membolehkan kemudahan itu dinikmati dari rumah.
“Salah satu program yang sedang kita selaraskan untuk memanfaatkan lebih ramai ialah program e-Tuisyen Rakyat yang menyediakan program tuisyen secara dalam talian dengan seorang guru secara percuma dalam lima mata pelajaran.
“Pada waktu ini, pelajar perlu datang ke NADI tetapi kita sedang merangka cara terbaik untuk memungkinkan pelajar yang mempunyai internet baik untuk mengikuti program e-Tuisyen Rakyat secara dalam talian dari rumah. Program-program ini disediakan secara percuma untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan NADI Inanam Sentral di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata usaha memperluas program e-Tuisyen Rakyat itu antara langkah bagi memastikan kemudahan digital yang disediakan kerajaan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat, khususnya pelajar yang mempunyai capaian internet di rumah.
“Pertama sekali, kita ingin mengembangkan program e-Tuisyen Rakyat untuk pelajar-pelajar yang mempunyai internet yang baik,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan evolusi NADI yang kini bukan lagi sekadar berfungsi sebagai pusat akses digital, sebaliknya turut menjadi hab pembangunan bakat dan kemahiran masyarakat.
Fahmi berkata pendekatan NADI juga diperluas dengan menggerakkan pengurus dan penolong pengurusnya ke komuniti bagi melaksanakan pelbagai modul dan program, selain menerusi unit NADI on Wheels.
“NADI hari ini jauh berbeza daripada sebelumnya. Kita bukan sekadar melakukan program di premis NADI tetapi kita membawa pengurus dan juga penolong pengurus NADI keluar ke komuniti untuk mereka laksanakan beberapa modul dan program,” katanya.
Fahmi berkata rangkaian NADI kini berjumlah 1,099 di seluruh negara, termasuk 132 di Sabah, susulan perasmian NADI Inanam Sentral hari ini.
Beliau berkata peluasan rangkaian itu penting bagi memastikan lebih ramai rakyat, terutama di luar bandar, mendapat akses kepada pembelajaran, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan peluang ekonomi digital.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata program 1 NADI 1 Prompt Engineer turut menunjukkan perkembangan positif dengan 1,247 peserta di seluruh negara, termasuk 509 penyertaan di Sabah setakat ini.
“Daripada kumpulan pertama, 50 peratus telah siap ketiga-tiga tahap. Jadi setakat ini kita telah mencapai lebih 60 peratus daripada angka sasaran bagi program 1 Nadi 1 Prompt Engineer,” katanya.
Beliau berkata usaha memperluas kemahiran digital menerusi NADI dapat membantu masyarakat membina keupayaan yang diperlukan dalam ekonomi masa depan, termasuk peluang untuk bekerja dari jarak jauh dan menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan komuniti masing-masing.
–BERNAMA


Leave a Reply