KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis tampil mempertahankan pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, yang berdepan kecaman di media sosial selepas menyuarakan pandangan mengenai isu rasuah dan kutipan derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta.
Menerusi kenyataannya, Napsiah menyifatkan tindakan Umairah mengemukakan pandangan dalam satu sesi dialog sebagai gambaran keberanian anak muda untuk membangkitkan persoalan berkaitan masa depan negara.
Beliau berkata, sesi berkenaan turut dihadiri beberapa tokoh politik, termasuk Menteri Besar dan bekas menteri, sebelum pandangan pelajar itu mendapat respons positif daripada salah seorang ahli panel.
Napsiah turut meluahkan rasa kesal apabila seorang pelajar wanita didakwa menjadi sasaran kecaman hanya kerana menyuarakan pandangan mengenai rasuah dan tanggungjawab pemimpin.
Beliau menegaskan perbezaan pendapat tidak seharusnya menjadi alasan untuk menjatuhkan mental seseorang, khususnya golongan muda yang berani mengambil bahagian dalam perbincangan isu negara.
Dalam kenyataannya, Napsiah turut menyeru lebih ramai pemimpin wanita tampil memberikan sokongan kepada Umairah agar potensi anak muda tidak dipatahkan akibat tekanan di media sosial.
“Jangan bunuh potensi anak perempuan kita yang menjadi aset negara,” katanya mengakhiri kenyataan media.


Leave a Reply