PESHAWAR, PAKISTAN – Seramai 33 orang, termasuk 32 murid dan seorang guru wanita, terkorban selepas bumbung sebuah sekolah runtuh di Peshawar, barat laut Pakistan, pada Khamis. Kebanyakan mangsa berusia antara empat hingga 14 tahun.
Kejadian itu turut menyebabkan 20 murid dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala beberapa mangsa mengalami kecederaan serius. Pasukan penyelamat bersama penduduk setempat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan berkenaan.
Seorang penduduk, Sohail, memberitahu agensi berita AFP bahawa keadaan menjadi kelam-kabut selepas berita mengenai kejadian itu tersebar dalam kalangan penduduk. Katanya, sebaik tiba di lokasi, beliau melihat kira-kira 10 hingga 15 kanak-kanak terperangkap di bawah timbunan runtuhan sehingga paras leher sebelum orang ramai berusaha menyelamatkan mereka.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122, Bilal Ahmad Faizi, berkata runtuhan bumbung menyebabkan bilik darjah di bawahnya musnah dan murid-murid terperangkap.
Siasatan awal pihak berkuasa pula menunjukkan keadaan struktur bangunan yang lemah dipercayai menjadi punca kejadian. Pemilik sekolah dilaporkan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kehilangan nyawa kanak-kanak serta guru dalam tragedi itu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
Presiden negara itu, Asif Ali Zardari, turut melahirkan rasa dukacita atas kejadian berkenaan. Tragedi bangunan runtuh bukan perkara asing di Pakistan, dengan kelemahan piawaian keselamatan dan penggunaan bahan binaan tidak berkualiti sering dibangkitkan sebagai faktor risiko.
Pada Jun lalu, lebih 12 orang kanak-kanak dilaporkan maut selepas bumbung sebuah pusat tuisyen runtuh di Lahore. Pada 2025 pula, seramai 27 orang terbunuh apabila sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan Lyari, Karachi. -Agensi


Leave a Reply