TUMPAT – Seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Kampung Berangan, di sini.
Suspek ditahan di Kota Bharu pada petang Jumaat sebelum perintah reman dikeluarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian yang dilaporkan pada 5 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian itu, pihak masjid menyedari pintu kaca premis berkenaan dipecahkan sebelum karpet di ruang solat didapati dicemari cecair berwarna coklat kehijauan yang mengeluarkan bau busuk.
Pemeriksaan turut menemukan serpihan tulang, bulu dan ulat pada karpet berkenaan sehingga memerlukan kerja pembersihan menyeluruh.
Kontraktor pembersihan, Mohd Hanif Mohammad Noor sebelum ini memaklumkan proses sertu dilakukan menggunakan campuran air tanah, diikuti enam kali basuhan menggunakan air mutlak sebelum karpet dibersihkan sepenuhnya.
Pihak polis memandang serius kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesucian rumah ibadat itu dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Leave a Reply