KUALA LUMPUR – Penyelesaian krisis etnik Rohingya memerlukan tindakan langsung daripada Myanmar bagi menangani akar permasalahan yang berlarutan, dan tidak boleh diletakkan di bahu Malaysia sahaja.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan meneruskan usaha diplomatik serta kerjasama kemanusiaan, namun kejayaan usaha berkenaan turut bergantung pada sokongan ASEAN dan masyarakat antarabangsa.

Menurut beliau, kepulangan pelarian Rohingya ke negara asal hanya dapat direalisasikan sekiranya faktor utama yang mencetuskan krisis di Myanmar ditangani secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Malaysia terus menggerakkan pendekatan diplomatik menerusi hubungan dua hala, kerjasama serantau dan saluran antarabangsa bagi memastikan kepulangan mereka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat, atas kerelaan sendiri, bermaruah dan berterusan.

Di peringkat hubungan dua hala, katanya, Malaysia terus berhubung dengan pihak Myanmar bagi menggalakkan langkah yang dapat membuka laluan kepada kepulangan etnik Rohingya.

Usaha itu turut menekankan keperluan menjamin hak, keselamatan dan peluang yang adil kepada komuniti berkenaan agar mereka dapat membina kehidupan semula di tanah air tanpa berdepan diskriminasi atau disisihkan.

Beliau menjelaskan perkara itu menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, mengenai jaminan serta mekanisme diplomatik Malaysia bersama Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya berlangsung dengan selamat, sukarela dan bermaruah.

Mohamad berkata, ASEAN pula terus menggunakan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai landasan utama menangani krisis Myanmar, termasuk usaha menghentikan keganasan, memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan tanpa diskriminasi dan menggalakkan dialog yang melibatkan semua pihak.

Katanya, Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, masih berusaha menggalakkan pelaksanaan konsensus itu secara berkesan bagi meneruskan inisiatif ASEAN yang dimulakan sejak 2021 demi mencari penyelesaian yang praktikal dan berkekalan.

Pada masa sama, ASEAN sedang meneliti langkah tambahan untuk melengkapi usaha sedia ada, termasuk mendapatkan kesediaan serta kerjasama Myanmar dalam memulihkan keamanan dan kestabilan negara tersebut.

Dalam aspek bantuan kemanusiaan, Malaysia turut menyokong peranan ASEAN melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (AHA) bagi membantu penduduk Myanmar yang terkesan akibat konflik.

Pusat berkenaan menyelaraskan penghantaran bantuan tanpa mengira latar belakang penerima, dengan kerjasama pihak berkaitan di Myanmar dan, jika diperlukan, melalui saluran bantuan rentas sempadan, katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading