KUALA LUMPUR – Seramai 57 warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas sebuah bot kayu yang dipercayai membawa migran tanpa melalui saluran sah dipintas di perairan Tanjung Karang, Selangor, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan migran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebuah bot peronda digerakkan ke lokasi sebelum mengesan bot kayu berwarna merah dan hitam tanpa nombor pendaftaran yang menimbulkan syak wasangka.
Bot berkenaan berjaya ditahan kira-kira 0.7 batu nautika di barat daya Tanjung Karang untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 23 tahun bersama dua kru berumur 18 dan 28 tahun.
Turut ditemukan ialah 54 migran Indonesia, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun, katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, sebahagian daripada migran yang ditahan didapati membawa pasport ketika pemeriksaan dijalankan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kemasukan atau keberangkatan dari Malaysia melalui laluan yang tidak dibenarkan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) berhubung kegiatan membawa masuk migran secara tidak sah.
Kesemua 57 individu terbabit bersama bot yang disita kemudian dibawa ke jeti Polis Marin di Pulau Indah bagi tindakan lanjut, katanya.


Leave a Reply