PETALING JAYA – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Lembaga Disiplin Bersatu yang menggantung keahliannya selama dua penggal.
Abu Bakar berkata beliau menerima keputusan berkenaan, namun tetap akan menggunakan saluran rayuan yang disediakan parti mengikut prosedur ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan disiplin itu tidak memberi kesan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar atau urusan pentadbiran kerajaan negeri.Menurut laporan Sinar Harian, Abu Bakar menjelaskan bahawa penggantungan keahlian merupakan urusan dalaman parti yang tidak seharusnya disamakan dengan tanggungjawabnya mengetuai kerajaan negeri.
Beliau berkata pentadbiran Perlis akan diteruskan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim, mengesahkan penggantungan keahlian Abu Bakar berkuat kuasa 13 Oktober, dengan surat rasmi mengenai keputusan itu dikeluarkan pada minggu lalu.
Surat bertarikh 14 Oktober itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, dan turut merujuk Abu Bakar yang juga Ketua Bersatu Kangar.
Penggantungan tersebut dilaporkan berpunca daripada dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti berkenaan.
Susulan keputusan itu, Abu Bakar kehilangan semua jawatan dalam parti sepanjang tempoh penggantungan dan tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan bagi pihak Bersatu.
Beliau juga diberikan tempoh 14 hari daripada tarikh notis untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Pada Julai lalu, Abu Bakar bersama Exco Perlis, Marzita Mansor, meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, namun kedua-duanya kekal sebagai ahli parti.
Ketika mengumumkan keputusan itu, Abu Bakar menjelaskan bahawa langkah berkenaan dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negeri, selain kekangan untuk menghadiri mesyuarat MPT.


Leave a Reply