KOTA BHARU – Pas menafikan dakwaan bahawa parti itu akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bersama Barisan Nasional (BN) dalam satu majlis seperti yang dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.ME
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu merancang mengumumkan senarai calonnya pada 28 atau 29 Oktober ini, iaitu menjelang minggu terakhir sebelum hari penamaan calon.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar di sini, Jumaat.
“Setakat ini tidak. Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” katanya.
Terdahulu, Tuan Ibrahim menyampaikan ceramah pada Kuliah Pagi Jumaat Perdana bersempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV.
Sebelum ini, laporan media pada Khamis menyebut BN dan Pas dijangka mengadakan pengumuman calon masing-masing secara bersama pada Sabtu ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas perkara tersebut, Tuan Ibrahim menjelaskan Pas memberi ruang kepada BN untuk mengumumkan calonnya terlebih dahulu sebelum parti itu mendedahkan senarai calon sendiri.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah memastikan kerjasama antara parti yang terlibat dapat diteruskan dengan baik sepanjang menghadapi PRN Melaka.
“Yang penting ialah kerjasama itu dapat diteruskan dengan baik dan memberi kekuatan kepada parti-parti yang terlibat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama berkenaan berteraskan persefahaman antara parti, menggunakan pendekatan yang pernah dilaksanakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini.


Leave a Reply