MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menyita 13 ekor ayam hidup bersama tiga sangkar dalam operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam yang dijalankan di lorong belakang sebuah premis di sini.
Pemeriksaan mendapati kegiatan berkenaan disyaki dilakukan tanpa lesen perniagaan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan itu.
Menurut MPM, aktiviti berkenaan turut mengakibatkan kawasan sekitar kotor serta menimbulkan kacau ganggu dan pencemaran bau yang boleh menjejaskan keselesaan orang awam.
Operasi dilaksanakan susulan rondaan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perniagaan mematuhi peraturan, selain menjaga kebersihan dan kesejahteraan persekitaran.
Semua barangan yang disita dibawa ke stor penguat kuasa MPM untuk tindakan lanjut mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPM) 2017.
MPM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.
Pengusaha dan pemilik premis turut diingatkan supaya mematuhi syarat pelesenan serta menjalankan kegiatan perniagaan hanya di lokasi yang dibenarkan bagi mengelakkan gangguan kepada masyarakat setempat.


Leave a Reply