KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang berusia 21 tahun meninggal dunia pada 21 Oktober lalu selepas empat hari menerima rawatan akibat kecederaan serius di bahagian belakang kepala ketika menghadiri acara muzik gig di Kampung Jawa, Melaka.
Menurut laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian pada 17 Oktober sebelum dirawat di Hospital Melaka dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.53 petang.
Susulan kejadian itu, polis menahan 10 individu berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan.
Halim berkata, siasatan awal mendapati acara muzik berkenaan berlangsung tanpa permit polis dan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berhubung kecederaan parah menggunakan senjata atau cara berbahaya kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam perkembangan berkaitan, pengendali premis berkenaan sebelum ini mendakwa kejadian berlaku secara tidak sengaja ketika mangsa menyertai aktiviti moshing, iaitu pergerakan fizikal agresif dalam kalangan penonton di hadapan pentas.
Menurut kenyataan pengendali premis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa berlanggar dengan seorang individu sebelum terjatuh dan kepalanya menghentam lantai.
Pengendali premis itu turut mendakwa persembahan dihentikan sejurus kejadian, manakala mangsa menerima bantuan daripada pengunjung dan kru penganjur. Bagaimanapun, pihaknya hanya mengetahui keadaan mangsa kritikal beberapa jam kemudian.
Pihak pengendali premis memaklumkan rakaman CCTV telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan, selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Aktiviti moshing lazimnya dilakukan ketika persembahan muzik berintensiti tinggi dan melibatkan pergerakan seperti saling menolak atau berlanggar. Beberapa penganjur festival muzik antarabangsa mengehadkan aktiviti agresif seperti crowd surfing dan stage diving bagi mengurangkan risiko kecederaan dalam kalangan penonton.


Leave a Reply