BAGAN DATUK – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa rundingan berhubung senarai calon MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 masih boleh diteruskan sebelum hari penamaan calon.

Beliau mengakui Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terkejut apabila tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pengumuman calon BN pada majlis di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibincangkan bagi mencari penyelesaian sebelum 31 Oktober ini.

“Benar, beliau pun terkejut kerana tidak dimaklumkan oleh urus setia mengenai pengumuman calon itu. Bagaimanapun, masalah ini akan kita selesaikan, kita akan adakan perbincangan sebelum 31 Oktober,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditemui media pada program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk, hari ini, ketika diminta mengulas dakwaan bahawa senarai calon MCA yang diumumkan BN belum mendapat persetujuan rasmi daripada kepimpinan pusat parti itu.

Ahmad Zahid menyerahkan perkara berkenaan kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang dipercayai telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan MCA negeri.

Menurutnya, peluang untuk meneliti semula senarai calon masih terbuka kerana beliau belum menandatangani watikah pencalonan.

“Saya serahkan kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerana mungkin beliau sudah berbincang dengan pengerusi dan kepimpinan MCA Melaka. Ada peluang lagi jika calon-calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah.

“Jadi, terserah kepada Presiden MCA untuk melakukannya,” katanya.

Sebelum ini, tindakan Wee meninggalkan dewan ketika majlis pengenalan calon BN bagi PRN Melaka malam tadi mencetuskan persoalan mengenai pendirian MCA berhubung pembahagian kerusi.

Presiden MCA itu turut difahamkan meminta ahli parti berkenaan yang berada di majlis tersebut meninggalkan dewan, dipercayai sebagai tanda bantahan terhadap pembahagian kerusi yang diperuntukkan kepada MCA bagi menghadapi PRN Melaka.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading