Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan kembali berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keputusan menamatkan peminjamannya dibuat minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan, Shuhaily merupakan pegawai polis yang sebelum ini dipinjamkan untuk berkhidmat sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai tahun lalu.

“Beliau merupakan pegawai polis yang dipinjamkan ke AKPS… Jadi, kita mengembalikannya kepada pasukan polis,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri satu majlis.

Shuhaily yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober atas pertuduhan menyerang dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail menambah, tempoh perkhidmatan Shuhaily di AKPS telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan nasihat perundangan serta Suruhanjaya Pasukan Polis bagi semakan peraturan.

Menurut Khalid, pelantikan Shuhaily selama dua tahun sebagai ketua agensi sempadan itu merupakan peminjaman rasmi daripada pasukan polis yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang tindakan untuk menamatkan peminjaman tersebut memerlukan perkenan baginda.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.