JAKARTA – Hasrat seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun untuk bermain bola sepak bersama rakan-rakannya tidak kesampaian apabila dia maut selepas disambar petir di Daerah Mamuju, Sulawesi Barat, Indonesia, lapor saluran berita Lambe Turah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan di Dusun Ngalo, Desa Dungkait, ketika kawasan berkenaan dilanda hujan lebat berserta petir.

Mangsa yang dikenali sebagai Sahid dilaporkan sedang bersiap untuk bermain bola sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Ketua Mukim Tapalang Barat, Jaharuddin mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa ketika itu sudah berada di dalam padang, manakala rakan-rakannya yang lain masih berlindung di kawasan astaka berhampiran.

“Mangsa sudah berada di dalam padang sebelum petir tiba-tiba menyambar dan mengenai tubuhnya, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian itu mengundang rasa simpati orang ramai selepas rakaman video memaparkan detik selepas insiden berkenaan tular di media sosial.

Rakaman tersebut menunjukkan seorang pemuda mengendong mangsa sebelum membawanya menaiki motosikal bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

– AGENSI

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.