SEREMBAN – Seorang lelaki bersama dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang warga emas yang dipercayai menjadi mangsa penderaan dalam kejadian pada Rabu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 28 hingga 34 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
Menurutnya, polis menerima laporan kira-kira jam 10 pagi pada 5 November selepas mengesan satu rakaman video yang tular di TikTok, memaparkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dipercayai didera oleh beberapa individu.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada petang 4 November sebelum polis memulakan siasatan sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan mangsa yang berada di atas kerusi roda dalam keadaan tidak berdaya dipaksa makan sebelum dipukul menggunakan getah paip oleh seorang lelaki.
Perbuatan itu turut disaksikan beberapa individu lain, termasuk kanak-kanak.
Dalam perkembangan sama, polis merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk sebatang getah paip, sebuah kerusi roda, telefon bimbit dan pakaian.
Alzafny turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau menegaskan polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam kejadian itu.


Leave a Reply