AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh menimbulkan persepsi yang kurang tepat terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini.

Beliau berkata, secara peribadi, beliau tidak bersetuju dengan keputusan parti itu untuk membantu melunaskan denda berkenaan bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Menurut Anwar, walaupun memahami hubungan persahabatan UMNO dengan bekas pemimpin berkenaan, tindakan tersebut tidak sepatutnya memberi gambaran bahawa kesalahan rasuah berskala besar boleh dipandang ringan.

“Kalau itu keputusan UMNO untuk membayar RM50 juta, itu pandangan peribadi saya, saya tidak bersetuju walaupun kita mempunyai semangat persahabatan dengan Datuk Seri Najib.

“Namun, tindakan itu tidak seharusnya memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Apa yang mahu kita ajarkan kepada anak-anak? Kita perlu berpegang pada prinsip moral yang tegas dalam menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, di sini semalam.

Anwar mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan parti itu telah menyelesaikan urusan pembayaran denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan keputusan UMNO untuk membantu Najib mendapatkan dana bagi menjelaskan denda tersebut merupakan hak parti berkenaan.

Beliau turut menyatakan kerajaan menghormati proses undang-undang serta keputusan pengampunan yang dibuat menurut kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan UMNO itu adalah hak mereka. Kita juga menghormati proses undang-undang dan keputusan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perlembagaan. Pandangan peribadi saya sudah pun saya nyatakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengulas kemenangan besar Parti Demokrat dalam pilihan raya separuh penggal di Amerika Syarikat yang disifatkannya sebagai gambaran penolakan rakyat terhadap Islamofobia, politik perkauman dan peperangan.

Menurut beliau, keputusan itu membawa mesej bahawa masyarakat tidak lagi menerima politik yang berasaskan kebencian, termasuk tindakan menyemai permusuhan terhadap golongan minoriti dan penganut agama Islam.

Beliau berkata, rakyat Malaysia wajar mengambil pengajaran daripada perkembangan politik di negara itu, khususnya dalam usaha membina pentadbiran yang bersih serta bebas daripada amalan rasuah.

“Kemenangan itu mengajar kita supaya menjadi manusia yang baik dan membersihkan negara daripada rasuah. Kita tidak boleh hanya bercakap tentang bangsa, sedangkan isu rasuah terus berlaku,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.