PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat dakwaan kejadian keracunan makanan yang dikaitkan dengan pengambilan produk roti dan menjadi perhatian ramai di media sosial.
Menurut KKM, siasatan awal sedang dilaksanakan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, menurut laporan Sinar Harian.
Kementerian memaklumkan pihaknya memandang serius aduan berhubung keselamatan makanan dan sudah mendapatkan maklum balas daripada syarikat pengeluar roti yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.
Bagaimanapun, usaha mengenal pasti produk terlibat masih berdepan kekangan berikutan maklumat nombor kelompok pengeluaran dan tarikh luput yang diberikan tidak lengkap.
KKM turut memaklumkan baki produk serta bungkusan berkaitan telah diperoleh daripada pengadu dengan persetujuannya untuk menjalani pemeriksaan dan analisis makmal.
Dalam perkembangan sama, kementerian menjelaskan bahawa hasil pemeriksaan dalaman oleh pihak syarikat tidak boleh dianggap sebagai keputusan muktamad bagi menentukan punca simptom yang dialami pengguna.
KKM kini menunggu keputusan ujian makmal dan akan meneruskan pemeriksaan di kilang bagi menilai tahap pematuhan pengeluar terhadap kehendak Akta Makanan 1983.
Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan dipertimbangkan sekiranya siasatan menemukan bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan sementara siasatan masih berjalan.
Pengguna yang mengalami gejala seperti muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas memakan produk yang disyaki terlibat dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.
Orang ramai juga boleh membuat laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau menyalurkan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di https://moh.spab.gov.my/ serta laman Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan.


Leave a Reply