MASJID TANAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan jentera parti supaya memberi tumpuan kepada pengundi muda dalam usaha memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, golongan berkenaan mempunyai pengaruh besar dalam menentukan keputusan pilihan raya berikutan jumlah mereka yang mampu menyumbang sebahagian besar undi.
Menurutnya, golongan muda bukan sahaja bakal mewarisi kepimpinan negara, malah perlu membuat pilihan tepat bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang stabil dan berkesan.
Katanya, pengundi muda perlu menilai pencapaian serta hala tuju kerajaan sebelum menentukan sokongan mereka pada pilihan raya kali ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri ceramah kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Kampung Balik Batu, di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap pada program berkenaan, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik telah meningkatkan jumlah pengundi, termasuk mereka yang sebelum ini layak mengundi tetapi tidak pernah mendaftarkan diri.
Katanya, pengalaman BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 menunjukkan parti itu perlu memperluas pendekatan kepada pengundi baharu, khususnya golongan muda dan mereka yang bukan dalam kalangan ahli UMNO.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kerjasama strategik menerusi Muafakat Melaka bersama Perikatan Nasional (PN) sebagai peluang untuk meningkatkan jumlah kerusi yang boleh dimenangi.
Ab Rauf berkata, BN berpotensi memperoleh sehingga 25 kerusi sekiranya gerak kerja kempen dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
“Daripada 21 kerusi yang kita pertaruhkan, jika gerak kerja dilakukan dengan betul, Insya-Allah kita mampu menang sehingga 25 kerusi,” katanya.


Leave a Reply