KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan semakan semula terhadap perintah pelepasan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memetik laporan Sinar Harian, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, permohonan yang difailkan pada Selasa itu dibuat susulan perintah mahkamah bertarikh 6 November lalu.

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu supaya pelaksanaannya selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.

“Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu,” katanya kepada media.

Dalam perkembangan sebelum ini, Najib dilaporkan telah menjelaskan denda sebanyak RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

AGC sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Dusuki sebelum ini turut membangkitkan isu kemungkinan terdapat kecacatan dalam perintah pelepasan berkenaan dan menegaskan kepentingan penelitian terhadap dokumen rasmi bagi mengelakkan sebarang pertikaian berkaitan penggunaan istilah undang-undang.

Untuk rekod, pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.

Pada 18 September lalu, beliau menerima pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.