KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidakberjaya meneruskan kemaraan ke undian utama Kejohanan Badminton Kumamoto Masters selepas terkandas pada pusingan kelayakan di Gimnasium Kumamoto, Jepun, hari ini.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak menutup peluang buat bekas juara All England berkenaan untuk kembali memperbaiki prestasinya dalam kejohanan akan datang.
Zii Jia terpaksa akur kepada kelebihan pemain tuan rumah, Minoru Koga yang mencatat kemenangan 21-15, 21-10 dalam tempoh 32 minit.
Keputusan tersebut menyaksikan pemain berusia itu terlepas peluang mengutip mata penting bagi memperbaiki kedudukannya dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ke kelompok 32 terbaik.
Bagi Koga, kemenangan itu turut menjadi peluang membalas kekalahan kepada Zii Jia ketika pusingan kelayakan Terbuka Switzerland pada Mac lalu.
Zii Jia sebelum ini mempamerkan perkembangan positif apabila berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Arctic bulan lalu, sekali gus menunjukkan kemampuannya untuk kembali bersaing di pentas antarabangsa.
Pemain yang pernah menghuni ranking kedua dunia itu kini boleh mengalihkan tumpuan kepada Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 29 November ini.
Kejohanan berkenaan bakal menjadi satu lagi peluang buat Zii Jia untuk mengumpul mata ranking, membina semula momentum dan memburu kejayaan dalam saingan antarabangsa.
Sebagai rekod, gelaran Jelajah Dunia terakhir Zii Jia hadir menerusi kemenangan pada Terbuka Australia pada Jun 2024.


Leave a Reply