KUALA LUMPUR – Sebarang kemungkinan perubahan dalam barisan Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta tamat tempoh perkhidmatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara, masih belum boleh dipastikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan masih terlalu awal untuk dibincangkan atau diputuskan ketika ini.
“Masih awal lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Minggu Pembinaan Antarabangsa, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet dalam masa terdekat susulan keputusan Loke melepaskan jawatannya serta tempoh perkhidmatan Amir Hamzah sebagai Senator yang dijadualkan berakhir pada 11 Disember ini.
Jumaat lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya bagi menjalani tahanan rumah.
Keputusan itu dibuat bagi menunaikan komitmen yang pernah dinyatakannya, selaras dengan pendirian DAP yang membantah isu tahanan rumah membabitkan Najib.
Sebelum itu, pada 29 September lalu, Loke telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, namun diminta untuk meneruskan tugas buat sementara waktu.
Terdahulu, beberapa laporan media menyebut Kerajaan Perpaduan berkemungkinan melakukan penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat susulan jangkaan berlakunya dua kekosongan dalam barisan pentadbiran.
Perubahan itu difahamkan tidak membabitkan wakil UMNO dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya menjurus kepada penggantian wakil DAP serta seorang lagi anggota pentadbiran yang memegang jawatan sebagai Senator.
Mengulas lanjut mengenai tempoh perkhidmatan Amir Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara, Anwar berkata, beliau masih belum menerima sebarang makluman berhubung perkara berkenaan.


Leave a Reply