IPOH – Sekumpulan individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan membakar mercun di tengah jalan raya di Jalan Kuala Kangsar di sini, kini sedang dikesan polis susulan penularan video kejadian itu di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan insiden berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan polis akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

Menurutnya, perbuatan bermain mercun di kawasan jalan raya merupakan tindakan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan tidak boleh dipandang ringan.

“Kita memandang serius perkara ini kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana sambutan perayaan perlu dilakukan di tempat yang tidak mengganggu pengguna jalan raya atau masyarakat umum,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video yang mula tersebar sejak Isnin menunjukkan sekumpulan individu dipercayai menyalakan mercun di atas jalan raya di Jalan Kuala Kangsar.

Kejadian itu mengundang kebimbangan orang ramai kerana kawasan berkenaan merupakan laluan kenderaan dan tindakan tersebut berpotensi mengundang kemalangan.

Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut menyuarakan rasa tidak puas hati serta menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh membahayakan keselamatan orang awam.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.