KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI meluluskan pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun kepada Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan premium tanah nominal sebanyak RM1,000, jauh lebih rendah berbanding anggaran asal kira-kira RM4.67 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kelulusan itu diberikan susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi pertimbangan khusus terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan.

Menurutnya, ketika mengunjungi KLSCAH sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lalu, Anwar telah meminta beliau meneliti penyelesaian berhubung isu tanah dan pajakan institusi berkenaan.

Susulan arahan itu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan pada 14 September 2026 meluluskan penyerahan dan pemberimilikan semula tanah berkenaan bagi kegunaan institusi dengan tempoh pajakan sehingga 99 tahun.

Surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober 2026 mengesahkan premium tanah ditetapkan pada kadar RM1,000, manakala jumlah keseluruhan bayaran yang perlu dijelaskan ialah RM5,011 termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.

Hannah mengumumkan perkara itu ketika menghadiri majlis makan malam ulang tahun ke-103 KLSCAH, malam tadi.

Beliau berkata, pengurangan premium berkenaan diharap membolehkan pihak pengurusan dewan menyalurkan lebih banyak sumber untuk kerja penyelenggaraan, pemuliharaan warisan serta aktiviti kemasyarakatan.

KLSCAH yang diiktiraf sebagai bangunan Warisan Kebangsaan sejak 2007 merupakan antara institusi penting dalam sejarah Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hannah menegaskan usaha pemeliharaan warisan bandar raya perlu merangkumi sejarah dan identiti semua komuniti, bukan tertumpu kepada satu kelompok sahaja.

Beliau turut menyentuh usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji pemeliharaan kampung tradisional Melayu di Sungai Penchala, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.

“Sama ada sebuah kampung tradisional Melayu atau Dewan Himpunan Cina yang bersejarah, kedua-duanya berhak mendapat tempat dalam masa depan Kuala Lumpur,” katanya.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Jabatan Wilayah Persekutuan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan serta semua pegawai yang terlibat dalam melancarkan proses kelulusan berkenaan.

Beliau berharap pembaharuan pajakan itu memberikan kepastian jangka panjang kepada KLSCAH untuk meneruskan peranannya dalam memelihara warisan budaya dan sejarah Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.