KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Budimas meneruskan tradisi menyantuni penghuni rumah kebajikan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini.

Program itu bertujuan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak jagaan Budimas serta menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada para pemegang amanah dan rakan strategik yayasan.

Majlis itu turut dihadiri oleh barisan Ahli Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Budimas yang memainkan peranan penting dalam hala tuju Yayasan Budimas.

Turut menyerikan acara adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Budimas, Pn. Anne Rajasaikaran.

“Sambutan ini mencerminkan semangat memberi dan berkongsi didalam komuniti yang kurang bernasib baik. Kehadiran kita hari ini sebagai satu keluarga besar menyemai nilai-nilai murni yang menjadi tunjang perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” ujar Anne.

Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran wakil-wakil daripada organisasi kebajikan dan rakan korporat seperti Yayasan Kadir & Fatimah, Kolej Antarabangsa Imperium, Sekolah Antarabangsa St. John, Pusat Tuisyen Kasturi dan ramai lagi, bagi menggambarkan jalinan kerjasama erat yang terjalin antara Budimas dan komuniti luar.

Sambutan ini diraikan bersama anak-anak dari tiga rumah kebajikan – Pertubuhan Kebajikan Asnaf Raudhatul Jannah, Rumah Bakti Dato’ Harun dan Budimas Orion Home – serta anak-anak dari Kampung Orang Asli Sungai Lalang. Pelbagai aktiviti menarik disusun bagi menceriakan mereka, antaranya persembahan kanak-kanak, pertandingan kreatif, serta penyampaian duit raya sebagai simbolik kasih sayang dan kegembiraan Aidilfitri.

Di penghujung majlis, setiap anak menerima beg hadiah istimewa dan duit raya, mencetuskan senyuman manis dan kenangan indah buat mereka.

Yayasan Kebajikan Budimas terus teguh dengan komitmen mereka melalui empat inisiatif utama – Dana Kebajikan Rumah Budimas (BHCF), Dana Kebajikan Makanan Budimas (BFF), Dana Kebajikan Pendidikan Budimas (BEF), dan Dana Penjagaan Perubatan Kanak-Kanak Budimas (BCMCF). 

Keempat-empat program ini menjadi bukti usaha berterusan yayasan dalam membina masa depan yang seimbang, sihat dan cerah untuk kanak-kanak di seluruh Malaysia. -KL Broadcast