PUTRAJAYA – Kelab Usahawan Haraki Malaysia (KU-HARAKI) telah melakar satu lagi pencapaian penting apabila merasmikan pejabat rasminya di Shaftsbury Putrajaya, pada Khamis. Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M. Tengku Azman Shah Al-Haj.
Pembukaan pejabat baharu ini menjadi simbol komitmen KU-HARAKI dalam memperkasakan komuniti usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan usahawan bumiputera. Ia turut dijangka menjadi pusat sehenti untuk perkongsian idea, kolaborasi strategik serta penggerak utama pertumbuhan ekonomi melalui jaringan keusahawanan yang mampan.
Menurut Setiausaha KU-HARAKI, Dato’ Suhaili Yosop, pelancaran ini hadir tepat pada masanya untuk memperkukuh usaha pembangunan ekosistem keusahawanan.

“Matlamat utama KU-HARAKI adalah untuk menyediakan platform bersepadu dan jaringan sokongan kepada usahawan Muslim, termasuk melalui instrumen pengumpulan dana serta perkongsian kepakaran,” jelas beliau.
KU-HARAKI terus berdiri teguh dengan visi membentuk komuniti usahawan Muslim yang progresif, berdaya saing dan beretika, sekaligus menjadi penanda aras kepada pertubuhan keusahawanan lain di Malaysia. -KL Broadcast