
PUTRAJAYA, 19 Januari 2026 – Pusat Pelancongan Islam (Islamic Tourism Centre, ITC) mengumumkan pelantikan Encik Mohammad Faisal bin Abu Suaib Khan sebagai Ketua Pengarah baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan tersebut menyaksikan Mohammad Faisal membawa bersama lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang komunikasi korporat dan digital, khususnya dalam sektor pelancongan, pengurusan acara serta inisiatif berteraskan pembangunan destinasi.
Beliau sebelum ini terlibat dengan beberapa syarikat tempatan dalam pengurusan acara pelancongan selain mempunyai pengalaman bersama program Malaysia My Second Home (MM2H), sekali gus memberinya kefahaman menyeluruh terhadap landskap pelancongan domestik dan antarabangsa.
Mohammad Faisal turut memiliki kepakaran dalam perancangan strategik, pengurusan dasar awam, strategi media digital dan penglibatan pihak berkepentingan, sejajar dengan keperluan industri pelancongan yang semakin mencabar dan dinamik.
Dengan latar belakang korporat dan perniagaan yang kukuh, beliau diberi mandat untuk menerajui ITC ke fasa pertumbuhan seterusnya melalui pelaksanaan inisiatif transformasi, seiring dengan pertumbuhan pasaran pelancongan Muslim global yang diunjurkan mencecah USD235 bilion menjelang 2030. Pelantikan ini juga dilihat selari dengan aspirasi ITC untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Mohammad Faisal berkata fokus utamanya adalah memposisikan ITC sebagai pemudah cara utama dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab umrah serantau, di samping memperluaskan jangkauan global Pengiktirafan dan Jaminan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) di pasaran utama dunia.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan pemain industri pelancongan dan rakan strategik bagi membina kepercayaan serta menjana nilai jangka panjang kepada ekonomi negara.
Pada peringkat antarabangsa, Mohammad Faisal aktif menyertai pelbagai wacana global. Antaranya, beliau menghadiri The Dialogue on the International Image Innovation di Beijing, China pada 2024, sebuah forum antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin media dan komunikasi dari 25 negara.
Merupakan lepasan sekolah aliran Cina di Malaysia, Mohammad Faisal fasih berbahasa Mandarin, yang menjadi kelebihan dalam membina hubungan profesional dan kerjasama strategik di China.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan kini sedang melanjutkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Universiti Utara Malaysia (UUM).