KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan bahawa tindakan ketenteraan berterusan terhadap Iran, walau atas apa jua alasan perbezaan dasar dan pendirian politik, adalah bertentangan dengan prinsip serta peraturan tatanan dunia.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata serangan ketenteraan berpanjangan itu bukan sahaja berisiko tinggi, malah berpotensi mencetuskan ketegangan lebih besar sehingga menggugat kestabilan serantau, khususnya di negara-negara Teluk.

Menurut beliau, konflik yang tercetus telah mengheret banyak negara ke dalam kancah peperangan susulan serangan yang dimulakan oleh Israel dengan sokongan Amerika Syarikat.

“Tatanan dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melalui kenyataan Setiausaha Agungnya António Guterres, jelas mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Namun, Israel terus-menerus melanggar ketetapan antarabangsa. Hari ini Iran, semalam Lubnan, sebelumnya Iraq dan Syria, serta pembantaian berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul mengutuk serangan ganas dan biadab Israel dengan sokongan AS terhadap Iran di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menegaskan, sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat, Malaysia hanya mampu menyeru agar gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan dengan segera, serta menuntut sebarang pertikaian diselesaikan melalui rundingan secara aman dan konstruktif.

“Tindakan menyerang negara berdaulat adalah perbuatan biadab yang jelas melanggar Piagam PBB serta semua ketetapan dalam tatanan undang-undang antarabangsa.

“Oleh itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata usaha pendamaian perlu digerakkan dengan mendapatkan kerjasama negara-negara Teluk agar kembali bersatu melalui rundingan demi mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau tersebut.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan serangan demi serangan berterusan ke atas negara lain, seperti yang pernah dinyatakan oleh beberapa pemimpin Israel.

“Malah, amaran terbaharu turut diberikan kepada Turkiye bahawa negara itu juga tidak terkecuali daripada kemungkinan menjadi sasaran serangan Israel,” katanya.