
SUBANG 1 March — Kuil Sri Maha Mariamman meneruskan inisiatif pendidikan komuniti dengan menganjurkan program tuisyen percuma khusus untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5.
Program ini menawarkan bimbingan dalam empat subjek teras, iaitu Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, bertujuan membantu pelajar menghadapi peperiksaan penting serta meningkatkan prestasi akademik mereka. Tuisyen percuma ini dijalankan setiap Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi hingga 1 petang dalam persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

Pengerusi kuil, Encik Murthi, menyatakan rasa amat berpuas hati dengan pencapaian para pelajar yang mengikuti program tersebut. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Ganeson dan isteri atas sumbangan serta komitmen berterusan mereka dalam menjayakan projek tuisyen percuma ini.

“Kami mahu kuil ini menjadi pusat ibadat dan juga pusat pendidikan yang memberi harapan serta masa depan lebih baik kepada anak-anak komuniti,” ujarnya.

Sementara itu, Cikgu Guna ketika ditemui berkata program kelas bimbingan akademik ini menunjukkan peningkatan ketara dengan jumlah pelajar bertambah daripada 15 orang pada tahun 2023 kepada 45 orang pada tahun ini, selari dengan pencapaian akademik yang semakin meningkat setiap tahun.

Majlis perasmian program berkenaan telah disempurnakan melalui upacara memotong riben oleh tetamu jemputan, VIP Dato P. Gunaseelan, yang turut memuji usaha murni pihak kuil dalam memperkasakan pendidikan anak-anak komuniti setempat.

Turut diserikan dengan sesi penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM kepada pelajar cemerlang iaitu Shavvetha Arun dan Sarvineswary Murulie yang masing-masing memperoleh 5A, serta Vetrivel Muthaliyar yang mencapai keputusan 3A.
Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh sokongan pendidikan berasaskan komuniti serta membuktikan peranan institusi keagamaan dalam pembangunan sosial dan akademik masyarakat.