SHAH ALAM, 15 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di MRT Laluan Putrajaya dalam satu operasi hasil kerjasama dengan Unit Polis Bantuan Prasarana.

Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun itu ditahan susulan laporan yang dibuat oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.

Kejadian berkenaan menyebabkan gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari dan menjejaskan ribuan pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata kerjasama antara Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan kecurian kabel serta memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam terpelihara.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.