KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu 10,000 anak Pahang di perantauan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan, setiap penerima akan mendapat baucar bernilai RM100 seorang, meningkat berbanding RM50 yang diberikan pada tahun 2024 dan 2025.

Menurutnya, peningkatan nilai baucar itu dapat dilaksanakan susulan keadaan kewangan negeri yang semakin stabil dan kukuh.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menambah baik inisiatif tersebut dari semasa ke semasa sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Pahang. Pengumuman itu disampaikan dalam program bersama anak perantau Pahang di Stadium Titiwangsa, di sini, pada Ahad malam.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap dalam program bersama perantau Pahang di Stadium Titiwangsa pada Ahad.

“Terima kasih atas doa dan sokongan anak-anak Pahang di mana sahaja mereka berada. Dengan pengurusan kewangan yang baik, kerajaan negeri dapat memulangkan manfaat ini kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, program Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila sebanyak 77,452 permohonan diterima dalam tempoh hanya tujuh hari selepas permohonan dibuka.

Jelasnya lagi, proses pemilihan penerima dibuat dengan teliti oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi memastikan bantuan diagihkan secara adil serta mengelakkan pertindihan penerima.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri turut menubuhkan sekretariat berkenaan pada tahun 2024 sebagai platform menghubungkan kerajaan negeri dengan anak-anak Pahang yang menetap di luar negeri.

Beliau berharap usaha ini dapat memudahkan anak-anak Pahang pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga selain terus mengeratkan hubungan mereka dengan negeri Pahang. -KL Broadcast