SUNGAI PETANI – Polis Kedah mengesahkan bahawa pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan sebuah lori tanah sehingga meragut enam nyawa merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun, iaitu Ahmad Fahim Ahmad Shukri.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, Ahmad Fahim merupakan pemilik kepada kenderaan berkenaan dan juga adik kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, Ahmad Shafiq, 29.
Beliau menjelaskan berlaku kekeliruan pada maklumat awal apabila pihak bomba memaklumkan bahawa anggota polis tersebut yang memandu kenderaan berkenaan, namun siasatan lanjut mengesahkan adiknya adalah pemandu SUV itu.
“Pada peringkat awal, maklumat yang diterima menyatakan anggota polis terbabit memandu kenderaan tersebut. Bagaimanapun, siasatan mendapati adiknya yang berada di tempat pemandu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang semalam, kemalangan membabitkan pertembungan antara Proton X50 dan sebuah lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal mengorbankan enam individu sekeluarga, manakala seorang kanak-kanak dilaporkan cedera parah.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada Ahmad Shafiq; isterinya, Jamaliah Sannusi, 29; serta bayi mereka, Ahmad Mikail yang berusia dua bulan.
Turut terkorban ialah ibu kepada Ahmad Shafiq, Nora Mohd. Husin, 55, adiknya, Ahmad Fahim, 21, serta anak saudara mereka, Iskandar Affan Ibrahim, 7 tahun.
Seorang lagi mangsa, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Aulia Sofea, dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan sedang menerima rawatan di hospital.
Difahamkan, kenderaan Proton X50 tersebut baru sahaja diambil dari pusat jualan pada pagi hari kejadian.
Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk menziarahi kubur ahli keluarga di kawasan Merbok sebelum kemalangan berlaku.