KLUANG – Remaja berusia 19 tahun yang dipercayai terbabit dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan empat ahli sebuah keluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam minggu lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu proses pendakwaan.

Ketua Polis Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pihak polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, sementara siasatan kes masih diteruskan dan dilengkapkan.

Sebelum ini, suspek yang memandu sebuah Mercedes-Benz A250 ditahan reman sejak 2 Jun dan tempoh tahanan tersebut dilanjutkan selama dua hari mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tempoh reman berkenaan berakhir semalam.

Bagaimanapun, selepas tamat reman tersebut, suspek sekali lagi ditahan pada Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian berkenaan, suspek dan abangnya yang berusia 22 tahun dipercayai memandu secara berbahaya menggunakan dua kenderaan mewah iaitu Mercedes-Benz A250 dan BMW 530e sehingga mencetuskan kemalangan tragis yang meragut empat nyawa.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Semek Mat Soh, 73, anaknya Nor Azlina Abd Latip, 33, menantunya Aiman Mohd Rashid, 36, serta anak saudara Aiman, Nur Airish Syifa Sidek yang berusia 10 tahun.

Abang kepada suspek pula dilaporkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital untuk menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami dalam insiden tersebut.