KUALA LUMPUR – Pelakon, pengarah dan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Afdlin Shauki, telah memulakan tindakan undang-undang terhadap aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berhubung dakwaan fitnah yang didakwa mencemarkan reputasinya.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman Thomas Philip Advocates & Solicitors yang mewakili Afdlin, Surat Tuntutan telah diserahkan secara rasmi kepada Chegubard pada hari ini berhubung beberapa kenyataan yang didakwa palsu, mengelirukan dan memfitnah.

Menurut kenyataan tersebut, dakwaan berkenaan dibuat menerusi sebuah video yang disiarkan di saluran YouTube Agenda Daily sebelum dikongsikan semula oleh pengguna media sosial lain di platform TikTok dan Facebook. Video berkenaan dikatakan masih boleh diakses oleh orang awam.

Pihak Afdlin mendakwa kenyataan yang dibuat dalam video tersebut membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam perbuatan rasuah dan tidak jujur berkaitan kedudukannya di DBKL. Dakwaan itu disifatkan sebagai fitnah bertulis yang serius dan berpotensi menjejaskan reputasi serta integriti beliau.

Afdlin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan dan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas. Beliau turut mendakwa kenyataan berkenaan diterbitkan tanpa sebarang usaha mendapatkan penjelasan atau maklum balas daripadanya terlebih dahulu.

Melalui Surat Tuntutan itu, Chegubard diminta untuk memenuhi beberapa tuntutan dalam tempoh tujuh hari, termasuk memadamkan video terbabit dan semua salinannya daripada platform di bawah kawalannya, mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat, serta menarik balik kenyataan yang dibuat.

Selain itu, beliau juga diminta memberikan akujanji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan sebarang kenyataan yang mempunyai kesan serupa terhadap Afdlin pada masa hadapan.

Firma guaman tersebut memaklumkan bahawa kegagalan mematuhi tuntutan dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan prosiding undang-undang difailkan tanpa sebarang notis lanjut, selain menuntut kos berkaitan daripada pihak yang terlibat. -KL Broadcast