KUALA LUMPUR – PAS menjelaskan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu dibuat selepas mendapati hubungan antara kedua-dua parti tidak lagi selari dengan matlamat asal yang dibina atas dasar perpaduan umat Islam dan kestabilan politik negara.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan bertajuk Minda Presiden Pas di laman facebooknya mendakwa Bersatu mula mengetepikan peranan PAS dalam usaha membentuk kerjasama politik yang lebih luas apabila beberapa parti Melayu Islam lain tidak diberi ruang untuk turut serta dalam gabungan tersebut.
Menurut beliau, pembahagian kerusi pilihan raya juga menjadi antara punca ketegangan apabila Bersatu dikatakan lebih mengutamakan jumlah kerusi berbanding kekuatan jentera, keupayaan calon serta sokongan akar umbi, sekali gus membebankan petugas PAS di lapangan.
Abdul Hadi turut mendakwa Bersatu berdepan konflik dalaman yang serius sehingga menyaksikan ramai pemimpin dan ahli Parlimen disingkirkan, digantung atau meninggalkan parti, keadaan yang dianggap menjejaskan imej serta kekuatan Perikatan Nasional.
Beliau juga mengaitkan beberapa kegagalan strategi politik, termasuk usaha mengambil alih kerajaan negeri tertentu, dengan tindakan pemimpin Bersatu yang didakwa lebih mementingkan kepentingan jawatan berbanding agenda penyatuan ummah.
Walaupun berdepan pelbagai isu sepanjang kerjasama itu, PAS menegaskan parti tersebut tetap memperoleh manfaat politik termasuk kemenangan di beberapa negeri, peningkatan kerusi Parlimen serta kemasukan bekas pemimpin Bersatu yang kini menyertai perjuangan PAS. -KL Broadcast