WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa satu perjanjian damai antara Washington dan Tehran telah dimuktamadkan, sekali gus membuka jalan kepada pemulihan aliran minyak global.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial miliknya, Trump memaklumkan bahawa kedua-dua negara telah mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Beliau turut mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz kepada laluan perkapalan antarabangsa tanpa sebarang sekatan, selain mengarahkan penamatan segera sekatan tentera laut AS terhadap Iran.

“Semua kapal di seluruh dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir,” katanya.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang berperanan sebagai perantara utama dalam rundingan berkenaan, mengesahkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan.

Menurut Sharif, persetujuan itu merangkumi penghentian semua operasi ketenteraan di setiap medan konflik, termasuk di Lubnan.

Beliau turut memaklumkan bahawa majlis pemeteraian rasmi perjanjian damai tersebut dijadualkan berlangsung di Switzerland pada 19 Jun.

Sebagai susulan, beberapa siri rundingan teknikal melibatkan perantara antarabangsa akan diadakan dalam masa terdekat bagi memuktamadkan butiran akhir sebelum perjanjian itu ditandatangani secara rasmi.

Perjanjian berkenaan dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam usaha meredakan ketegangan di Asia Barat, khususnya selepas konflik berpanjangan yang menjejaskan laluan perdagangan utama dunia, termasuk Selat Hormuz. -Agensi