MARANG – Dua lelaki dikenakan denda RM1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Marang selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap seorang pembantu kedai runcit warga Bangladesh dalam satu insiden yang berlaku minggu lalu.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Nur Athirah Hashim terhadap tertuduh, Muhammad Adi Putera Razali, 23, dan Tengku Muhammad Adam Ikhram Tengku Mohd. Faizullah, 21. Kedua-duanya yang bekerja sebagai buruh dan tukang rumah membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bertindak bersama-sama mencederakan Mohammad Kamrul Islam, 34, di sebuah kedai runcit yang terletak di Kampung Mak Kemas, Marang pada kira-kira pukul 7.15 malam, 9 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, pada 10 Jun, kedua-dua tertuduh telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian membabitkan seorang warga asing yang dipukul di premis berkenaan.
Kes berakhir selepas kedua-dua tertuduh menerima hukuman denda yang ditetapkan oleh mahkamah.