KULAI, 16 Jun – Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan pelaksanaan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bagi memastikan aliran trafik di Johor Bahru dapat dikawal dengan lebih berkesan apabila Sistem Transit Rapid (RTS) Link mula beroperasi pada tahun 2027.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelbagai inisiatif jangka pendek dan sederhana yang sedang dilaksanakan ketika ini hanyalah langkah sementara untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar raya tersebut.
Menurut beliau, usaha seperti penambahan kemudahan Park & Ride, penggunaan sistem pengurusan trafik pintar serta penyelarasan operasi bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing di JB Sentral tidak mampu menggantikan keperluan projek pengangkutan awam berskala besar seperti E-ART.
Katanya, projek berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada tahun 2024, namun sehingga kini pelaksanaan fizikal masih belum bermula.
“Rakyat Johor mahu mengetahui bilakah projek ini akan dimulakan kerana setakat ini masih belum ada garis masa yang jelas. Malah, Letter of Award juga difahamkan masih belum dikeluarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh pembinaan E-ART dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun selepas kerja-kerja dimulakan, justeru sebarang kelewatan hanya akan memberi kesan kepada usaha menangani pertambahan jumlah pengguna pengangkutan awam pada masa hadapan.
Onn Hafiz turut mengingatkan bahawa RTS Link yang bakal menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands North dijangka membawa peningkatan besar dalam pergerakan penumpang, sekali gus berpotensi menambah tekanan terhadap rangkaian jalan raya di pusat bandar Johor Bahru sekiranya sistem sokongan yang mencukupi tidak disediakan.
Beliau turut membandingkan perkembangan projek tersebut dengan projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang yang telah memulakan kerja pembinaan selepas menerima siling peruntukan RM16.8 bilion dan dijangka siap menjelang penghujung tahun 2031.