TIJUANA – Persekutuan Bola Sepak Iran bercadang mengemukakan bantahan rasmi kepada FIFA selepas mendakwa pasukan kebangsaan mereka berdepan pelbagai sekatan perjalanan sepanjang kempen Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Utara.
Jurucakap badan induk bola sepak Iran itu berkata, kekangan yang dikenakan pihak penganjur memberi kesan kepada perancangan teknikal dan persiapan pasukan walaupun jadual perjalanan telah diserahkan lebih awal, menurut laporan berita AFP.
Menurutnya, Iran memohon untuk memasuki Amerika Syarikat dua hari sebelum pertemuan menentang Belgium di Los Angeles pada Isnin bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan setempat serta menjalani latihan terakhir.
Bagaimanapun, permohonan tersebut didakwa tidak mendapat kelulusan.
“Perlawanan dijadual berlangsung pada tengah hari waktu tempatan, justeru kami memohon untuk tiba lebih awal bagi memastikan pemain mempunyai masa mencukupi membuat persiapan.
“Walaupun alasan berkaitan keperluan teknikal telah dikemukakan, permintaan itu tetap ditolak,” katanya.
Iran turut melahirkan rasa kecewa apabila pasukan mereka diarahkan meninggalkan Los Angeles pada malam yang sama selepas aksi pembukaan Kumpulan E yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 menentang New Zealand.
Sementara itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat menafikan dakwaan bahawa Iran dikenakan layanan tidak adil.
Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas FIFA Rumah Putih, Andrew Giuliani menjelaskan bahawa syarat kemasukan tersebut telah dimaklumkan lebih awal kepada pasukan Iran.
Katanya, Iran hanya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat sehari sebelum perlawanan dan perlu meninggalkan negara itu sebaik sahaja aksi tamat pada hari yang sama.
Menurut beliau, prosedur tersebut akan terus digunakan bagi perlawanan menentang Belgium di Los Angeles serta aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Mesir di Seattle pada 27 Jun.
Giuliani menegaskan bahawa segala urusan perjalanan pasukan Iran dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebelum kejohanan bermula.