KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil mempertahankan Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley, susulan kontroversi yang sedang melanda arena berbasikal negara.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Azizulhasni mendakwa isu yang membabitkan Beasley bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya berpunca daripada perselisihan yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, kemelut berkenaan dipercayai berkait dengan rasa tidak puas hati dua bekas jurulatih kebangsaan terhadap Beasley walaupun mereka tidak lagi terlibat dalam program kebangsaan.
“Persoalannya kenapa dengan tiba-tiba baru keluar buat vendetta terhadap John selepas sekian lama? Itu persoalan yang perlu dirungkai,” katanya.
Azizulhasni turut mendakwa salah seorang jurulatih terbabit pernah disingkirkan atas isu disiplin, manakala seorang lagi tidak disambung kontrak oleh majikannya disebabkan faktor usia. Bagaimanapun, kedua-duanya didakwa meletakkan kesalahan itu kepada Beasley.
Beliau menjelaskan perbezaan pendapat mengenai pendekatan latihan memang wujud, namun menegaskan kaedah yang diperkenalkan Beasley telah terbukti berjaya apabila membantu Malaysia melahirkan juara dunia dan pemenang pingat Olimpik.
Dalam pada itu, Azizulhasni mendedahkan satu sesi dialog bersama jurulatih-jurulatih negeri pernah diadakan bagi membincangkan isu berkenaan. Namun, beliau menyifatkan pertemuan itu gagal mencapai matlamat apabila perbincangan lebih tertumpu kepada perlumbaan Yayasan Sime Darby (YSD) tanpa sebarang penyelesaian yang jelas.
Beliau berkata, sesi yang sepatutnya menjadi platform perbincangan terbuka itu akhirnya tidak menghasilkan sebarang keputusan yang dapat meredakan konflik sedia ada.
“Townhall itu yang sepatutnya ‘open discussion’ untuk pelbagai topik namun pihak moderator memberitahu hanya dua perkara di bincangkan iaitu perlumbaan YSD dan Talent Identification Program (TID).
“Namun begitu selama dua jam tersebut perihal TID langsung tidak disentuh dan perbincangan hanya tertumpu kepada perlumbaan YSD kerana dua jurulatih tersebut tidak puas hati tentang perlumbaan tersebut.
“Di penghujungnya tidak ada apa-apa solusi pun yang dicapai dan seperti hanya membuang masa sahaja,” katanya.
Azizulhasni menegaskan sokongannya terhadap Beasley bukan atas dasar hubungan peribadi, sebaliknya kerana menghargai jasa dan sumbangan besar jurulatih dari Australia itu dalam memajukan sukan berbasikal negara selama lebih dua dekad.
Sementara itu, PKBM sebelum ini mengesahkan John Beasley masih kekal memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal dan akan meneruskan tugasnya sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan.


Leave a Reply