KOTA BHARU – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan sebarang penglibatan dalam dakwaan rasuah membabitkan RM53 juta yang dikaitkan dengan pemindahan tiga ekor gajah dari Malaysia ke sebuah zoo di Jepun.

Beliau berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan menegaskan bahawa dirinya tidak terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan urusan pemindahan gajah berkenaan.

Sehubungan itu, Nik Nazmi menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

“Saya mengalu-alukan jika SPRM mahu menyiasat. Jika mereka mahu siasat, silakan kerana saya tidak terlibat dalam perkara itu. Itu hak mereka dan saya bersedia memberikan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Jelajah Kancil Negeri Kelantan di Pantai Cahaya Bulan, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi menjelaskan bahawa perbincangan awal mengenai pemindahan tiga ekor gajah yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) memang bermula ketika beliau masih memegang jawatan menteri.

Bagaimanapun, katanya, kelulusan akhir bagi urusan tersebut diberikan selepas beliau meletakkan jawatan pada Julai tahun lalu.

Menurut beliau, pemindahan berkenaan bukan melibatkan penjualan hidupan liar secara komersial, sebaliknya merupakan proses pemindahan rentas sempadan antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji di Jepun.

Beliau turut menjelaskan bahawa urusan itu tidak melibatkan perjanjian secara langsung antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Jepun, sebaliknya dilaksanakan melalui kerjasama antara institusi zoo yang terlibat.

Isu berkenaan menjadi perhatian selepas timbul dakwaan bahawa sejumlah RM53 juta telah disalurkan kepada individu tertentu berkaitan proses pemindahan tiga ekor gajah tersebut. Setakat ini, tiada sebarang bukti rasmi yang mengaitkan Nik Nazmi dengan dakwaan berkenaan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading