KOTA BHARU – Dua remaja perempuan yang juga sepupu, yang sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui semula di Machang selepas kira-kira 32 jam, kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob memaklumkan kedua-dua remaja terbabit menjalani pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan, termasuk di bawah pengendalian Unit Satu Hentian Krisis (OSCC).
Menurut beliau, selain pemeriksaan fizikal, kedua-dua mangsa turut diberikan sokongan dan rawatan psikologi bagi membantu pemulihan emosi selepas insiden berkenaan.
Sementara itu, laporan sebelum ini menyebut dua sepupu tersebut, berusia 15 dan 16 tahun, dilaporkan hilang sejak malam Khamis sebelum ditemui selamat di sebuah inap desa di Machang, kira-kira 25 kilometer dari rumah mereka di Kampung Baloh, Kok Lanas, pada petang Jumaat.
Berikutan penemuan itu, polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Machang memaklumkan, dua daripada suspek telah direman selama lima hari, manakala tiga lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu direman selama dua hari bagi siasatan lanjut.


Leave a Reply