KUALA LUMPUR: Malaysia diyakini masih mampu mengharungi sebarang kesan gangguan perdagangan sekiranya berlaku penutupan Selat Hormuz, menerusi pelbagai langkah penyesuaian rantaian bekalan serta intervensi kerajaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada impak gangguan di laluan strategik itu, kerajaan sentiasa memantau perkembangan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata fokus utama kerajaan adalah memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, bekalan barangan asas mencukupi, serta kelangsungan operasi industri dan kestabilan ekonomi negara.

Menurutnya, beberapa langkah intervensi telah digerakkan merangkumi perlindungan rakyat, serta usaha menstabilkan bekalan dan harga di pasaran.

Katanya lagi, pemantauan harian turut dijalankan terhadap bekalan dan harga barangan keperluan, selain kerjasama rapat bersama Petronas dan pemain industri bagi menjamin bekalan tenaga negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen di Dewan Rakyat mengenai kesan kemungkinan penutupan Selat Hormuz terhadap ekonomi Malaysia.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan asas ekonomi negara masih berada pada tahap kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang stabil.

Tambahnya, kerajaan turut memperluaskan bantuan bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Budi Madani RON95, Budi Madani Diesel serta pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Beliau juga menegaskan usaha sedang dipergiat untuk mempelbagaikan rangkaian perdagangan dan pelaburan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara terhadap kejutan global.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading