GEORGE TOWN: Semua balai dan pegawai di lapangan wajib menerima sebarang aduan atau laporan orang awam tanpa sebarang pengecualian atau diskriminasi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, keutamaan utama pasukan polis ialah membantu orang ramai yang berada dalam keadaan cemas, termasuk mangsa kemalangan, ancaman jenayah atau situasi yang mengancam keselamatan.
Beliau menegaskan tiada alasan untuk menolak kehadiran orang awam ke balai polis, walaupun berdasarkan faktor penampilan, pakaian atau latar belakang seseorang.
Menurutnya, arahan jelas telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Daerah supaya memastikan setiap anggota memberikan layanan sewajarnya kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.
Dalam pertemuan pertamanya bersama media selepas memulakan tugas, beliau berkata keselamatan awam hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat antara polis dan komuniti.
Dennis turut menyifatkan keadaan keselamatan di Pulau Pinang sebagai baik, hasil hubungan rapat antara penduduk dan pihak berkuasa.
Beliau bagaimanapun berkata usaha berterusan perlu dilakukan bagi menangani kawasan yang berpotensi menjadi lokasi jenayah, termasuk bangunan terbiar dan kawasan kurang penyelenggaraan.
Jelasnya, kawasan berisiko itu akan dikenal pasti dan dipulihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan persekitaran lebih selamat.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dalam mempertingkatkan kecekapan operasi polis.
Katanya, kerjasama dengan sektor swasta dan penyedia teknologi juga akan diperkukuh bagi menambah baik tahap keselamatan di negeri ini.
Dennis mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan majoriti kerjayanya dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dan sebelum ini memegang jawatan kanan di Bukit Aman.


Leave a Reply