KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Bangladesh dalam pengurusan tenaga kerja, susulan pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, hubungan kerjasama yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara dalam sektor tenaga kerja telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja asing.
Menurut beliau, KESUMA menyambut baik persetujuan kedua-dua negara untuk mengadakan semula Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama (Joint Working Group) bagi menilai keberkesanan Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada serta merangka MoU baharu yang lebih relevan dengan keperluan semasa.
“Malaysia dan Bangladesh berkongsi komitmen untuk memastikan proses pengambilan pekerja dilaksanakan secara telus, adil dan beretika serta bebas daripada eksploitasi, diskriminasi dan amalan tidak beretika, selaras dengan piawaian antarabangsa dan agenda reformasi pasaran buruh Kerajaan MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramanan berkata, pengukuhan kerjasama itu amat penting memandangkan Bangladesh kekal sebagai antara negara sumber utama pekerja asing bagi Malaysia dalam pelbagai sektor ekonomi.
Sehubungan itu, katanya, aspek tadbir urus, kebajikan pekerja dan mekanisme pengambilan yang beretika perlu terus diperkasakan demi kepentingan bersama kedua-dua negara.
Beliau yakin kerjasama yang diperkukuhkan itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Bangladesh, malah dapat memastikan kebajikan, keselamatan serta hak pekerja sentiasa terpelihara, di samping memenuhi keperluan tenaga kerja negara secara mampan dan bertanggungjawab.
Katanya, KESUMA akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan pekerja asing serta memperluaskan kerjasama strategik dengan negara-negara rakan termasuk Bangladesh demi manfaat bersama.


Leave a Reply