CHERAS – Operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya dengan Johan Setia, Klang akan bermula Isnin depan selepas dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembukaan laluan baharu sepanjang 37.8 kilometer itu bakal memperkukuh sistem pengangkutan awam di koridor barat Lembah Klang serta memberi akses lebih baik kepada penduduk di kawasan padat seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
“Majlis perasmian akan berlangsung pada Ahad dan operasi perkhidmatan akan bermula pada keesokan harinya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan, hari ini.
Perkhidmatan LRT3 sebelum ini dijadualkan memulakan operasi pada tahun lalu, namun pelancarannya ditangguhkan berikutan beberapa isu berkaitan kestabilan sistem dan perisian yang dikenal pasti semasa proses ujian dan pentauliahan.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata pejabat baharu JPJ Bandar Tun Razak yang beroperasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menampilkan konsep moden dengan waktu operasi lebih panjang, iaitu dari 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Menurutnya, cawangan baharu itu menggantikan operasi JPJ di Bandar Tasik Permaisuri dan dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik, mudah diakses melalui pengangkutan awam serta mempunyai kemudahan parkir yang mencukupi.
Beliau berkata, waktu operasi yang lebih panjang dijangka dapat mengurangkan kesesakan di cawangan lain selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan dengan kapasiti sehingga 1,700 pelanggan sehari.
“Cawangan ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan digital seperti kiosk layan diri, aplikasi JPJeQ dan peranti yang dapat mempercepatkan urusan pelanggan serta meningkatkan aspek keselamatan dan integriti sistem penyampaian,” katanya.
Mengulas mengenai tenaga kerja, Anthony menjelaskan penugasan anggota JPJ akan diurus secara syif bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Beliau turut memaklumkan JPJ kini memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu operasi harian termasuk dalam aspek pemantauan dan analisis melibatkan pengangkutan awam.


Leave a Reply