Bukit Gambir – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas kesudian baginda menerima beliau menghadap serta menghargai kenyataan baginda yang menganggap beliau sebagai seorang sahabat.

Dalam masa sama, Anwar menyeru semua pihak, khususnya parti-parti politik, supaya tidak memperalatkan institusi diraja demi kepentingan politik sempit atau menjadikannya bahan dalam kempen pilihan raya.

Menurut beliau, hubungan baik yang terjalin antara kerajaan Persekutuan dan Istana Johor seharusnya tidak diputarbelitkan oleh mana-mana pihak yang cuba meraih keuntungan politik dengan menggunakan nama institusi diraja.

“Sebab itu apabila Tunku (Mahkota Ismail) berangkat ke Kuala Lumpur dan kata boleh menghadap, saya pun terima dengan baik, dan ini dengan sendirinya menjawab kempen-kempen politik picisan di bawah ini.

“Nak lawan politik tidak berani, (malah) guna nama raja. Saya nak beritahu, saya runding dengan baik dengan Pemangku Sultan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam tadi.

Anwar turut menegaskan bahawa institusi diraja perlu dihormati dan dipelihara daripada sebarang percaturan politik kepartian. Beliau berkata perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya dijadikan sasaran atau alat untuk menyerang pihak lawan.

Menurutnya, sebarang persaingan politik perlu dilakukan secara matang dan berasaskan dasar serta hujah, bukannya dengan menimbulkan persepsi yang boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara kerajaan dan institusi diraja.

Kenyataan beliau itu hadir susulan pelbagai dakwaan dan polemik yang timbul kebelakangan ini, dengan Anwar menegaskan bahawa hubungan beliau dengan Pemangku Sultan Johor sentiasa berlangsung dalam suasana yang baik dan penuh hormat.

Beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas layanan yang diberikan serta berharap semua pihak dapat menghentikan budaya politik yang cuba mengheret institusi diraja ke dalam kancah persaingan politik.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading