KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini, pada Isnin.

Menerusi hantaran di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, pertemuan tersebut menyentuh pelbagai perkara berkaitan kepentingan rakyat, pembangunan negeri serta kesejahteraan masyarakat.

Dalam sesi menghadap itu, Tunku Mahkota Ismail dan Anwar turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu termasuk keperluan Kerajaan Persekutuan untuk terus komited dalam memacu pembangunan Johor demi kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Perdana Menteri dalam memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.

“Terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor.

“Saya turut bertukar pandangan dengan Perdana Menteri berhubung keperluan Kerajaan Persekutuan untuk terus komited terhadap pembangunan Negeri Johor demi kesejahteraan rakyat Johor,” titah baginda menerusi hantaran berkenaan.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pengagihan semula hasil yang dikutip daripada Johor secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Baginda sebelum ini bertitah bahawa Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion disalurkan semula kepada negeri itu bagi memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.

Titah tersebut dibuat semasa sesi bersama rakyat Johor pada Sabtu lalu, susulan kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan menyifatkan Johor sebagai sebuah negeri kaya tetapi masih berdepan isu ketirisan atau ‘kebocoran’.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading