KUALA LUMPUR – Kelewatan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan berpunca daripada masalah dalaman, sebaliknya disebabkan proses tapisan dan dokumentasi yang ketat melibatkan kesemua 56 calon.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap calon bukan sahaja dikehendaki berikrar untuk kekal setia dan tidak melompat parti sekiranya dipilih, malah perlu melalui pelbagai semakan latar belakang sebelum diumumkan secara rasmi.
Menurutnya, proses tapisan meliputi aspek kebankrapan, rekod jenayah, semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Agama Islam bagi memastikan calon bebas daripada sebarang kesalahan syariah.
“Setiap calon juga perlu menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan kontrak di hadapan peguam serta Pesuruhjaya Sumpah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, proses yang bermula pada pukul 10.30 pagi dan dijangka selesai sekitar pukul 2.30 petang terpaksa dilanjutkan sehingga pukul 4 petang memandangkan ia membabitkan kesemua 56 calon BN.
Pengumuman calon yang pada asalnya dijadualkan pada pukul 3 petang kemudian hanya dapat dilakukan sekitar pukul 4.30 petang oleh Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sehubungan itu, Asyraf memohon maaf kepada para penyokong, jentera parti dan pengamal media yang terpaksa menunggu lebih lama bagi mendengar pengumuman rasmi berkenaan.
Beliau turut mendoakan agar kesemua calon BN diberikan kemenangan demi kesejahteraan rakyat Johor.


Leave a Reply