KUALA LUMPUR: Bekalan makanan negara dijangka kekal stabil sehingga penghujung tahun meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat terus mencetuskan kebimbangan terhadap rantaian bekalan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia setakat ini tidak berdepan sebarang gangguan ketara terhadap bekalan makanan dan kerajaan akan memaklumkan kepada rakyat sekiranya berlaku perubahan mendadak.
Beliau berkata, konflik yang berlarutan berpotensi memberi kesan kepada kestabilan ekonomi serta rantaian bekalan global, namun kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa dan mempunyai pelan tindakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kerajaan berharap ketegangan yang berlaku dapat diredakan kerana konflik berpanjangan berpotensi memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dan rantaian bekalan global,” ketika majlis pelepasan rasmi eksport nanas segar MD2 Malaysia ke New Zealand di Menara Pertubuhan Peladang, pada Rabu.
Menurutnya, lawatan Perdana Menteri ke Rusia dan Tajikistan baru-baru ini turut membuka ruang kerjasama dalam pembekalan minyak dan gas, sekali gus membantu menjamin keperluan tenaga negara.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia menghadapi fenomena El Nino yang boleh menjejaskan pengeluaran hasil pertanian. Kementerian akan mengeluarkan amaran awal sekiranya berlaku cuaca panas melampau dan terus bekerjasama dengan negara ASEAN bagi memastikan bekalan makanan kekal mencukupi.


Leave a Reply