MUKAH: Seorang anggota polis bantuan menerima 12 jahitan pada leher selepas diserang seorang lelaki warga asing menggunakan parang di kawasan rumah pekerja ladang kelapa sawit di Jalan Sebakong, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang ketika mangsa yang berusia 45 tahun menjalankan pemeriksaan susulan laporan mengenai seorang pekerja ladang yang mengamuk dan menimbulkan kekecohan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa mendapati suspek berusia 39 tahun berada dalam keadaan agresif sambil memegang parang. Ketika cuba menenangkan suspek, lelaki itu secara tiba-tiba menghayunkan senjata berkenaan sehingga mencederakan leher mangsa, lapor portal Harian Metro.
Beberapa pekerja yang berada berhampiran kemudian membantu menahan suspek selepas berlaku pergelutan yang turut menyebabkan lelaki terbabit cedera.
Kedua-duanya dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan sebelum suspek ditahan bagi membantu siasatan. Polis turut merampas parang sepanjang 53 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan mempunyai perselisihan faham dengan pihak pengurusan syarikat tempatnya bekerja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, manakala suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.


Leave a Reply